BOTOL PLASTIK BOLEH SEBABKAN BARAH
Kecenderungan negara ini menggunakan botol air mineral plastik secara berulang kali untuk menjimatkan kos, sebenarnya boleh mengundang maut.
Ini kerana kajian menunjukkan penggunaan botol dan pembungkus plastik polyvinyl chloride (PVC) berulang kali akan mendedahkan penggunanya terhadap unsur kimia seperti 'vinyl cloride monomer' (VCM) dan 'phthalates'. VCM dikenalpasti mengandungi karsinogen yang boleh menyebabkan barah.
Pensyarah Kesihatan Persekitaran di Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Jamal Hisham Hashim, berkata botol plastik air mineral atau minuman ringan hanya boleh digunakan semula sekali atau dua sebelum dibuang.
Selain VCM dan phthalates, bekas plastik mengandungi bahan logam berbahaya seperti kadmium yang digunakan sebagai 'plastisizer' iaitu untuk meningkatkan kualiti plastik supaya warnanya cerah dan tidak kekuningan biarpun lama digunakan. Penggunaan secara berulang boleh menyebabkan kadmium di dalamnya terhakis dan mencemarkan makanan atau minuman," katanya.
"Pembungkus makanan daripada bahan PVC sepatutnya tidak boleh mengandungi lebih daripada satu miligram per kilogram (mg/kg) VCM.
"Makanan yang dibungkus dengan PVC dan dicemari VCM melebihi 0.05mg/kg tidak sesuai dimakan kerana boleh mendatangkan kesan mudarat pada kesihatan," katanya.
Dr Jamal berkata, beg plastik makanan diperbuat daripada polyethylene (PE) dan PE tidak mengandungi VCM. Jadi penggunaannya tidak menyebabkan barah, namun masih tidak sesuai digunakan berulang-ulang.
Katanya, botol minuman diperbuat daripada polyethylene terephthalate (PET) selamat digunakan dalam keadaan biasa, namun memanaskannya boleh mengeluarkan 'phthalates'.
Phthalates disyaki boleh meniru hormon manusia, tetapi ia tidak menyebabkan barah, namun ia boleh mengganggu fungsi hormon manusia.
"Jika peraturan ini tidak dipatuhi, ia boleh mendatangkan kesan negatif kepada pengguna. Peraturan mengenai pembungkus dan bekas makanan daripada PVC terkandung di dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985.
"Namun tidak ramai menyedarinya kerana kesedaran terhadap penggunaan barangan plastik untuk pembungkusan atau menyimpan makanan atau air masih rendah," katanya.
Dr Jamal berkata, penggunaan botol plastik mengundang bahaya lain seperti jangkitan kuman kerana bakteria boleh membiak berikutan bahan itu sukar dicuci bersih dan melekat daki.
"Jika ragu-ragu mengenai jenis plastik yang boleh digunakan secara berulang untuk menyimpan makanan, sila rujuk kepada Bahagian Kawalan Mutu Kementerian Kesihatan," katanya.
Kenyataan Dr Jamal mengesahkan laporan Buletin Pengguna mengenai bahaya penyalahgunaan botol plastik serta bekas makanan diperbuat daripada stirofom dan polisterin.
Buletin itu diterbitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).
Pengarah Komunikasi Fomca yang juga Timbalan Ketua Sidang Pengarang Buletin Pengguna, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pihaknya mengetengahkan bahaya penggunaan botol plastik berulang kali kerana ramai menggunakan botol air mineral sebagai bekas minuman di dalam peti sejuk.
"Lebih berbahaya, ramai menjadikan botol itu sebagai bekas minuman anak ke sekolah, bekal ke pejabat atau untuk beriadah. Sedangkan botol berkenaan hanya boleh digunakan sekali atau dua atau paling lama seminggu sebelum perlu dibuang," katanya.
Mohd Yusof berkata, kurang pengetahuan dan kesedaran menyebabkan banyak lagi amalan rakyat negara ini mendedahkan mereka kepada pelbagai penyakit kronik.
Katanya, penggunaan kertas akhbar dan majalah, selain bekas makanan diperbuat daripada stirofom atau polisterin, juga boleh mengakibatkan tersebarnya logam ke dalam tubuh.
"Kertas akhbar dan majalah mengandungi timah hitam melebihi had dibenarkan. Apabila timah hitam ini ada dalam tubuh, ia masuk ke saluran pernafasan dan pencernaan, seterusnya sistem peredaran darah sebelum tersebar ke bahagian lain seperti ginjal, hati, otak, saraf dan tulang. Ini cukup berbahaya dan tidak boleh dijadikan pembungkus makanan.
"Bahan pembungkus stirofom dan polisterin pula kini cukup popular, tetapi kajian mendapati ia mengandungi bahan unsur karsinogen," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Mohamed Siraj Razack, turut memberi amaran mengenai bahaya penggunaan botol plastik, bekas menyimpan makanan serta bahan pembungkus jenis stirofon atau polisterin yang disifatkannya pembunuh senyap.
"Bahan berasaskan plastik itu boleh digunakan sekali dua saja. Jika dibasuh berulang kali, bahagian dalamnya terhakis dan mengeluarkan bahan kimia yang memudaratkan kesihatan," katanya.
Mohamed Siraj berkata, bahan kimia dalam bekas plastik mudah terhasil apabila terkena cahaya matahari, misalnya botol mineral bagi mengisi air minuman yang ditinggalkan dalam kereta.
"Bekas plastik terbabit sepatutnya dikitar semula untuk dijadikan barangan berasaskan plastik lain yang tiada kaitan dengan makanan.
"Sebaiknya, untuk menyimpan makanan atau minuman, gunakan bahan dibuat khusus untuk digunakan berulang kali, misalnya termos atau jenis plastik tahan panas dan khusus untuk menyimpan makanan," katanya.
Mohamad Siraj berkata, kepanasan makanan atau minuman yang disimpan dalam bekas plastik tertentu juga boleh menghasilkan bahan kimia yang memudaratkan kesihatan, misalnya amalan minum teh tarik bungkus.
"Teh tarik seeloknya diminum menggunakan cawan kerana wap yang keluar daripada plastik pembungkus yang bercampur dengan teh boleh menyebabkan tindak balas kimia.
"Kari panas dibungkus menggunakan bahan plastik juga amalan tidak baik dan kesannya sama seperti teh tarik bungkus," katanya.
Mohamed Siraj berkata, semua barangan plastik diterima oleh pusat kitar semula. Sehubungan itu, kesedaran terhadap bahaya penggunaan bekas plastik secara berulang akan mengalihkan perhatian pengguna untuk mengitar semula barangan terbabit dalam menjaga alam sekitar.
Read more: http://biaqpila.blogspot.com/2010/10/bahaya-teh-tarik-bungkus.html#ixzz134aUMRun
No comments:
Post a Comment