Monday, January 04, 2010

Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Penyakit Buah Pinggang

Terdapat dua jenis penyakit buah pinggang iaitu; akut (secara tiba-tiba), dan kronik (kekal untuk tempoh yang panjang).

Akut (Acute)

Biasanya berpunca daripada trauma yang serius contohnya akibat kemalangan, luka terbakar yang serius atau luka yang menyebabkan kehilangan darah yang banyak; dan juga disebabkan pengambilan bahan-bahan beracun. Pesakit biasanya akan sembuh sekiranya rawatan awal diberikan dan pesakit tidak mempunyai apa-apa masalah buah pinggang sebelum ini.

Kronik

Kegagalan buah pinggang yang kronik, atau Chronic Renal Failure (CRF) boleh disebabkan oleh beberapa keadaan seperti:

Perubahan pada buah pinggang yang berpunca daripada tekanan darah tinggi atau kencing manis (diabetes)Pembengkakan/keradangan atau jangkitan glomerulus disebabkan oleh penyakit seperti lupus (glomerulus adalah sebahagian daripada buah pinggang)
Saluran air kencing yang tersumbat (contohnya berpunca daripada tumor atau pembesaran kelenjar prostat lelaki)Penyakit-penyakit keturunan seperti penyakit buah pinggang polisistik.
Penyalahgunaan dadah berlebihan.

Proses kerosakan buah pinggang akan berlaku dari masa ke semasa secara berterusan walaupun rawatan dan diet yang sepatutnya telah diberikan. Ini disebabkan semakin banyak tisu-tisu buah pinggang yang akan mati dan membawa kepada kerosakan buah pinggang yang bertambah teruk. Apabila fungsi buah pinggang telah gagal sepenuhnya ia dinamakan kerosakan buah pinggang peringkat akhir atau End State Renal Failure (ESRF). Pada peringkat ini, pesakit hanya boleh memilih sama ada untuk menerima rawatan secara dialisis atau pemindahan buah pinggang.

Apakah Dialisis?

Dialisis adalah satu proses di mana kekotoran di dalam darah yang selalunya dibersihkan oleh buah pinggang, telah diambil alih oleh mesin dan tiub-tiub yang mengandungi cecair khas, melalui proses penapisan separa telus (semi-permeable). Terdapat dua jenis dialisis iaitu :

1) Hemodialisis
2) Dialisis Peritoneal


Hemodialisis

Ia adalah satu cara penapisan darah melalui tiub-tiub dan mesin di mana darah akan dialirkan keluar melalui fistula atau salur darah yang terletak di bawah bahagian lengan. Pesakit perlu melalui proses dialisis ini dua hingga tiga kali seminggu.

Dialisis Peritoneal

Dalam dialisis peritoneal, membran peritoneal tubuh digunakan untuk menapis bahan-bahan sisa dari tubuh. Melalui tiub besar yang dipasangkan secara pembedahan kecil di dalam ruang abdomen, maka proses penapisan kekotoran akan berlaku di dalam tubuh. Proses iniperlu dilakukan beberapa kali sehari.

No comments: