Friday, June 19, 2009

Senaman usia emas

Oleh Ziauddin Sharuddin

(Sumber : Berita Harian - www.bharian.com.my)

USIA emas bagi kebanyakan orang bermakna tubuh menjadi lesu dan tidak bermaya serta tidak boleh berdiri lama kerana kaki sakit.

Bagaimanapun dari semasa ke semasa, laporan media massa mengenai perlumbaan berjalan kaki atau maraton yang turut disertai peserta veteran berusia 70 tahun, membuktikan anggapan itu tidak boleh diterima sepenuhnya.

Mengapa segelintir warga emas tetap cergas dan boleh menyertai kegiatan sukan yang bagi sesetengah orang muda pun tidak mampu dilakukan.

Ini yang menyebabkan mengekalkan keadaan fizikal dalam keadaan baik dengan membuat beberapa bentuk latihan senaman membolehkan sendi, tulang, otot, tendon dan ligamen manusia, lebih bersedia apabila memasuki usia emas.

Terdapat banyak bukti bahawa senaman yang dilakukan secara konsisten adalah ubat terbaik untuk mencegah menghidapi penyakit.

Antara keadaan yang sering dialami warga emas ialah masalah terjatuh yang menyebabkan kecederaan serius, terutama keretakan pergelangan tangan dan pangkal paha.

Ini yang menyebabkan senaman penting kerana kegiatan fizikal mengurangkan risiko terjatuh dengan menjadikan sendi terus berfungsi dengan baik serta memantapkan kekuatan, keseimbangan dan penyelarasan otot.

Selain memastikan terus berdikari dan bergerak tanpa masalah, senaman memperlahankan proses osteoporosis, suatu keadaan yang sering berlaku di kalangan wanita, berbanding lelaki yang menyebabkan tulang menjadi semakin nipis dan mudah patah.

Warga emas perlu cergas dan aktif, tetapi ini memerlukan tulang yang kuat untuk mengelakkan menghadapi masalah keretakan tulang apabila terjatuh.

Oleh itu, tidak menghairankan dalam perlumbaan berjalan kaki dan maraton, sama ada dalam negara atau luar negara, ada peserta warga emas berumur 70 tahun.

Warga emas yang ingin mengikuti jejak langkah segelintir rakan mereka yang istimewa ini tidak boleh memaksa diri kerana perbuatan itu membahayakan diri, apatah apabila sudah lama tidak aktif.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna warga emas boleh menyerah kalah begitu saja kerana masih belum terlewat untuk memulakan program kecergasan terancang dengan perkara pertama perlu dilakukan ialah mendapatkan nasihat doktor.

Selepas mendapat lampu hijau doktor, senaman boleh dilakukan dengan berhati-hati. Perlu ingat bahawa pada usia lebih tua, tubuh tidak boleh dipaksa untuk melakukan aktiviti fizikal seperti yang diinginkan.

Sebagai permulaan, kegiatan seperti berjalan kaki dan berenang sesuai dilakukan, tetapi apa pun kegiatan yang dipilih, ia akan menyebabkan keadaan seperti kurang bernafas sedikit dan letih, tetapi bukan hingga termengah-mengah dan tubuh menjadi lembik.

Bekerja terlalu kuat dalam keadaan tubuh tidak cukup cergas membahayakan diri. Pendekatan terbaik adalah dengan meningkatkan kegiatan senaman secara beransur-ansur.

Sebagai contoh, jarak atau masa berjalan kaki boleh ditambah mengikut kemampuan diri dengan matlamat akhir ialah bersenam dalam tempoh 20 minit secara berterusan sekurang-kurang dua kali seminggu.

Apabila umur semakin meningkat, otot mengambil masa lebih lama untuk pulih daripada senaman. Kadang-kadang rasa kejang boleh berlaku dalam tempoh satu atau dua hari selepas senaman dan jika mengalami kecederaan, tempoh sembuh mengambil masa lebih lama.

Cara terbaik melakukan senaman ialah dengan menjadikan kegiatan ini sebagai sebahagian gaya hidup seperti berjalan kaki atau menunggang basikal menggantikan memandu kereta ke tempat berdekatan seperti kedai runcit dan jika menaiki bas, berhenti di perhentian yang jauh sedikit dari rumah.

Menggunakan tangga berbanding menaiki lif adalah senaman terbaik kerana jantung, paru-paru dan otot dikerah untuk bekerja.

Bagaimanapun, kegiatan ini tidak sesuai dilakukan jika simptom seperti sakit dada dan kesukaran bernafas atau lutut dan pangkal paha berasa sakit.

No comments: